Sebuah Puisi di Melaka
Selepas perjalanan yang penuh makna menerusi Tour Sebuah Puisi di Indonesia, kini Amir Jahari membawa perjalanan yang sama pulang ke tanah air. Bermula di Melaka, Tour Malaysia: Sebuah Puisi bukan sekadar sebuah siri persembahan, tetapi sebuah ruang untuk kita berkumpul, berkongsi cerita, mengenang perjalanan hidup, dan meraikan setiap luka, harapan serta kasih sayang yang menjadikan kita siapa hari ini.
Dalam suasana yang lebih dekat dan intim, Amir Jahari akan membawakan lagu-lagu yang menjadi teman kepada ramai pendengar sepanjang perjalanan mereka. Setiap lagu, setiap cerita, dan setiap bait yang dipersembahkan adalah refleksi tentang kehidupan, kehilangan, kerinduan, perjuangan, dan harapan yang tidak pernah padam.
Sebuah Puisi adalah tentang kita. Tentang mereka yang hadir ketika kita hampir menyerah. Tentang mereka yang memilih untuk terus tinggal ketika ramai yang pergi. Tentang kasih sayang yang kadang-kadang tidak terucap dengan kata-kata, tetapi sentiasa terasa dalam setiap langkah kehidupan.
Pesanan daripada Amir Jahari
"Sebuah Puisi adalah satu penghargaan untuk orang-orang yang aku sayang. Yang ada masa jatuh bangun aku. Yang tak pernah give up dengan aku walaupun tika aku sendiri tak mahu melihat dunia. Yang tarik aku keluar walaupun di luar sana tak tahu apa yang bakal menanti. Yang tetap senyum dan terus kuat walaupun mungkin sebenarnya kita sama-sama sedang berperang dengan diri sendiri.
Untuk setiap orang yang sentiasa bagi aku peluang, yang sentiasa ada dengan aku, yang percaya dengan aku, Sebuah Puisi untuk kalian.
Aku tak ingin menyesal di hujung hayat nanti.
Semoga Tuhan menjaga kita hingga kita sama-sama sampai Syurga."
Datanglah bersama insan yang paling bermakna dalam hidup anda. Bawalah segala cerita, luka, rindu dan harapan yang belum sempat diungkapkan. Kerana pada malam itu, kita akan meraikan kehidupan melalui lagu dan cerita.
Tour Malaysia: Sebuah Puisi
Bermula di Melaka. Sebuah perjalanan pulang ke hati. ❤️